Isnin, 23 Mei 2011

Hiburan Alternatif

Persepsi umum, muzik dan nyanyian adalah sesuatu yang asyik dan melalaikan. Sedang sejarah mencatatkan bahawa keperluan manusia kepada hiburan khususnya muzik dan nyanyian tersangat besar dan tidak dapat dipisahkan. Tangggapan itu kerana kita hanya memungut sampah barat tanpa tahu makna filosofis di sebalik budaya popular tersebut, lalu kita prejudis kepada apa jua nyanyian dan muzik yang hadir dalam masyarakat kita.

Justeru itu kita kehilangan sebuah budaya yang lahir bersama dengan fitrah kejadian manusia, yakni keperluan hiburan. Melawan fitrah samalah melawan arus air yang deras, yang tentunya bukan sesuatu yang mudah tetapi amat meletihkan lagi sia-sia.

Musik punya peranan yang tersendiri dalam sesebuah masyarakat. Hanya kita melihat saat ini, musik cuma hiburan kosong dengan gaya hidup yang disuap peradaban barat, walhal muzik sebenarnya adalah bahasa universal. Bahasa itu mempunyai hubungan erat dengan fikiran kita yang disebut dalam bahasa Arab sebagai kalam. Di samping itu, muzik juga sebagai alat ideologis, menyampaikan pesan-pesan yang efektif tapi senang dipraktikkan.

Bahkan muzik juga, menurut Ibnu Sina, seorang ahli perubatan Islam terulung, berfungsi sebagai terapi kesihatan dan ketenteraman jiwa. Justeru, sudah sampai masanya, kita memcahkan mitos, bahawa muzik sebagai alat melalaikan, kepada alat menyampaikan sesuatu yang maaruf dan lebih dari itu adalah untuk mengajak manusia mendekati Yang Maha Pencipta dengan cara yang paling santai.

Syeikh Dr Yusuf Qardhawi, seorang ahli fiqh Islam terkenal dalam bukunya Halal dan Haram Dalam Islam tidak mengharamkan alat muzik tetapi mengharamkan unsur-unsur di luar muzik seperti percampuran lelaki perempuan dan nyanyian-nyanyian oleh wanita yang ditonton oleh lelaki atau aksi-aksi lain yang terbukti tidak sesuai dengan etika Islam.

Sejarah muzik, sebenarnya, tidak boleh lari dari tradisi Islam dengan kekayaan budayanya sehingga menyumbang kepada muzik di dunia moden masakini. Sebagai contoh, sebahagian alat muzik seperti gitar dan seruling, adalah hasil seniman Islam Cordova dan Andalusia (Sepanyol). Ibnu Sina sekali lagi berujaran mengenai muzik dalam bukunya, Qanun fi alThib, bahawa beliau melakukan pembedahan dengan pembiusan melalui bunyi muzik. Seterusnya beliau mengatakan, muzik mampu mempengaruhi sikap seseorang.

Begitu juga Jalaludin Rumi, menganggap bahawa dunia boleh diceriakan lewat kesenian, agama dan cinta. Justeru itu beliau menggabungkan muzik, agama dan cinta menjadi tarian Sufi yang ekosotik dan mengagumkan, penuh simbol dan keberkesanan spiritual.

Tetapi hiburan berbentuk muzik dan nyanyian yang hadir dalam masyarakat Malaysia hari ini diimport dari barat dan ternyata melalaikan, serta bertentangan dengan Islam sehinggan lorong kebaikannya hampir tiada. Lirik-lirik lagunya berbentuk pemujaan material, manakala lingguk sang penyanyi khususnya wanita, penuh keghairahan berahi.

Muzik serta nyanyian seperti ini telah membudayai masyarakat kita sejak lama. Anak-anak lahir dan dewasa dalam alunan muzik barat yang didengarnya lewat radio atau televisyen. Hanya muzik seumpama itu yang menusuk telinganya saban hari. Meskipun tidak dinafikan, bahawa terdapat lagu-lagu berirama nasyid, tetapi muzik seperti ini ternyata tidak upaya menarik kelompok remaja menghayatinya dan ia hanya layak dipersembahkan pada acara-acara keagamaan semata-mata.

Kekuatan sesebuah lagu banyak bergantung kepada lirik, kerana lirik itu kalam. Para nabi menyampaikan pesanan tauhid lewat kalam, justeru itu ternyata kalam itu amat besar peranannya dalam mengajak manusia kepada maaruf dan mencegah manusia dari melakukan kemungkaran serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalam hal ini, lirik-lirik lagu yang dinyanyikan oleh sebahagian penyanyi, Ramli Sarip misalnya, memenuhi kategori sebagai lagu-lagu yang memuji keTuhanan, yang didendangkannya dengan penuh penghayatan, sehingga membangkitkan kesedaran para pendengar dan peminat akan kebesaran Yang Maha Pencipta dengan segala keagungan-Nya.

Lirik-lirik lagu nyanyiannya ridak jauh beza dengan syair atau puisi para Sufi di zaman silam dalam meluahkan rasa hatinya kepada Allah SWT dan hasilnya para pendengar dan peminat yang mendengarnya akan terasa bahawa dirnya sekarang bukan sahaja sedang menikmati sebuah lagu malah lebih dari itu, sedang mengingati Allah SWT dengan segala kebesaran-Nya. Keberkesanannya bila mendengar dan menghayati lagu-lagu tersebut bagi kelompok remaja, mengalahkan lagu-lagu nasyid.

Sebagai contoh, beberapa rangkap lagu ketuhanan yang dinyanyikan oleh penyanyi Ramli Sarip:

Kaulah Yang Maha Agung, Kaulah Yang Maha Mengetahui, Tuhan dunia akhirat, Tiada aku tanpa-Mu (Kau Yang Satu)

Tua, Muda, miskin, kaya, pasti kembali kepada-Nya, rumah, harta, gedung, istana, tiada lagi berguna, hanya amal, budi, bakti, suci (Kalimah Terakhir)

Pencipta Kaulah Berkuasa, Atur wajah perjalananku, biar duka dan hidup merana, aku hanya menyerah (Doa)

Di atas nama kebenaran, di atas nama ketulusan, di atas nama Tuhanmu, di atas nama Yang Maha Esa, di atas nama Yang Maha Kuasa, di atas nama Tuhan Yang Satu, katakan Tuhan itu satu (Iqra’)

Dan banyak lagi lagu-lagu seumpama itu yang dinyanyikan penuh syahdu oleh penyangi bergelar Papa Rock itu.

Hari ini yang tampak di mata umum ialah seni yang melepaskan diri dari konteks sosial-budaya iaitu “seni liar” yang hanya boleh hidup dalam dunianya sendiri, sempit dan kalut. Mereka hanya melihat dunia dari apa yang “dihasilkan”, bukan apa yang “diperlukan” manusia. Dia melihat seni sebagai proses kreatif manusia semata-mata, bukan sebagai ikhtiar manusia untuk memaknai ayat-ayat Allah SWT di muka bumi. Seni yang memiliki etika sosial adalah seni yang mempunyai hubungan vertikal dengan Yang Maha Agung, Allah SWT.

Apa yang berlaku di sekitar kita sekarang ialah seni yang “meludahi” muka masyarakat, seni yang menonjolkan paha, pusat dan dada wanita. Seni yang memalingkan muka dari “protes” masyarakat dengan tetap bersekukuh dengan paradigma kebebasan berekspresi adalah segala-galanya. Atau dengan kata lain; seni yang seperti itu adalah seni dan budaya yang jauh menyimpang dari etika Islam.

Sedangkan seni menurut Islam ialah sebagai satu wahana untuk memberi “ruh” Islam pada seni tersebut. Islam sebagai sumber nilai akan memberi warna pada setiap kreativiti seni. Menerapkan unsur-unsur kebenarn, kebaikan dan keindahan, itulah seni Islam. Sebaliknya seni yang berlawanan dengan nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan , otomatis bukan seni Islam.

Islam melarang wanita menyanyi di depan publik di mana para penontonnya terdiri lelaki. Jika mengabaikan larangan itu maka pasti ia bukan sebuah seni Islam yang harus dipertahankan. Justeru dalam hal-hal menggawal aktiviti seni hiburan, kita salut kapada kepimpinan ulama’ yang menerajui Negeri Kelantan, kerana sejak mengambilalih pemerintahan negeri itu tanggal Oktober 1990 telah menggubal enakmen hiburan menurut Islam- melarang artis wanita menyanyi di depan umum, sehingga sampai hari ini peraturan itu dipatuhi, bahkan telah membudayai masyarakat Negeri Serambi Mekah.

Para penonton juga harus mengasingkan tempat duduk antara lelaki dengan perempuan saat menonton persembahan. Walaupun peraturan ini sedikit sukar untuk dipraktikkan kerana diantara penonton itu terdapat pasangan suami isteri berserta anak-anak mereka namun kempimpian ulamak sudah pun mengubal peratuaran, cuma disegi teknikalnya saja sedikit sukar dilaksanakan.

Tok Guru pernah menyebut tentang seni Islam ketika berucap merasmikan pelancaran Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat di Putik. Walaupun ringkas tapi makna dan maksudnya sangat mendalam “al-Quran itu sendiri merupakan mukjizat paling agung terutama keindahan bahasanya, sehingga melumpuhkan bangsa Arab dengan keindahan bayan, nazhan dan uslubnya” ujar Tok Guru.

Selanjutnya Tok Guru mengungkapkan “Bahkan al-Quran itu jika dibaca dengan baik sesuai dengan tajwid dan lagu serta suara yang merdu akan memberi rasa keindahan yang sangat menakjukan, sehingga memberi rasa kesejukan, kesegaran, ketenteraman dan kedamaian dalam jiwa serta mencerahkan fikiran”.

“PAS juga seni…” ujarnya lagi. Kerana apa-apa juga tindak tanduk yang dipraktikkan PAS selama ini dalam mengajak orangramai menyertai parti itu tidak pernah menggunakan kekerasan, ugutan dan paksaan. PAS melakukannya dengan pendekatan “seni” yang tinggi, yakni “seni memujuk”. Tidak seperti parti nasisionalis UMNO, melakukannya dengan cara menyogok wang, menabur janji, ugut akan ditukarkan atau dibuang kerja. Bahkan yang lebih berat, ditangkap di bawah ISA!. Itu membuktikan UMNO tidak tahu seni.

Oleh: Rossem(demitinta.blogspot)

Tiada ulasan: