Sabtu, 2 Julai 2011

Muslimat PAS Kawasan diarah hantar 100 Peserta


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat membuat arahan khas kepada Muslimat di seluruh negara untuk menghantar sekurang-kurangnya 100 orang Muslimat daripada setiap kawasan turun menyertai Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmood bagi menyokong penuh inisiatif lebih 80 badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung dengan Pakatan Rakyat menganjurkan program penting bagi menuntut perjalanan pilihan raya dapat diadakan dengan bersih dan telus.
Beliau berkata, Dewan Muslimat akan mengeluarkan panduan kepada seluruh muslimat untuk keluar dan berkumpul di kawasan tertentu.

“Himpunan aman itu adalah keluar untuk berjalan-jalan bukan tujuan bergaduh dan kami meletakkan tanggungjawab menjaga keamanan kepada pihak polis sebab peserta himpunan ini mahu berjalan dengan aman,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Muslimat menolak cadangan daripada pihak SPR untuk mengadakan sistem biometrik kerana ia tidak menjamin pilihan raya dapat diadakan dengan telus.

Katanya, penggunaan sistem biometrik tidak praktikal sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat dan dalam parlimen tidak ada dibincangkan peruntukan untuk biometrik.

Menurut beliau, SPR perlu betul-betul bersiap sedia kerana mereka memerlukan peralatan biometrik yang banyak memandangkan tempat mengundi yang banyak.

Beliau menegaskan, penggunaan dakwat kekal adalah lebih praktikal berbanding kaedah biometrik yang melibatkan kos tinggi sehingga mencecah RM3 juta.

Tiada ulasan: