Isnin, 4 Julai 2011

Gagasan memartabatkan wanita Malaysia


ALLAH berfirman dalam Surah Al-Zaariyaat ayat 56 yang bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.

Sesungguhnya setiap manusia dilahirkan untuk menjadi mengabdikan diri kepada Allah SWT. Apa pun kedudukan mereka di kalangan masyarakat, mereka tidak lepas dari menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Ini termasuklah mereka yang diberi amanah kepimpinan.

Justeru itu, realiti jawatan bukan perkara yang harus dibanggakan kerana di dalam Islam, mereka yang diberi amanah memimpin merupakan orang yang paling berat tanggungannya di hadapan Allah kelak. Rasulullah s.a.w berkata, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan tentang kepimpinannya.”
Setiap individu mempunyai peranannya masing-masing. Setiap peranan dan amanah walaupun kecil tetap akan dihitung di mahkamah Allah kelak. Oleh itu, marilah sama-sama kita melunasi amanah ini dengan penuh keikhlasan dan itqan.

Golongan wanita pada kurun-kurun terdahulu sering dipandang rendah dan dipergunakan untuk kepentingan kaum lelaki. Para ibu bapa juga tidak gembira bila menerima anak perempuan. Mereka lebih gembira menerima anak lelaki.

Pernah berlaku dalam sejarah Arab jahiliyah, anak perempuan ditanam hiduphidup. Manakala perempuan yang muda belia dijadikan alat hiburan untuk memuaskan nafsu kaum lelaki sahaja. Mereka juga tidak mempunyai hak memiliki harta, tidak dihormati, tidak diberi tanggungjawab memimpin keluarga bersama suami dan sebagainya lagi.

Ringkasnya, kaum wanita dahulu dianggap warga kelas kedua; berdiri tidak sama tinggi dengan lelaki, duduk pula lebih rendah dari lelaki.

Kita akui dalam beberapa perkara, wanita Malaysia diberikan hak sama rata dengan lelaki seperti hak mendapatkan pendidikan sehingga peringkat tertinggi, pemilikan harta, berkerjaya dalam pelbagai bidang, bersukan, berpolitik dan sebagainya.

Namun begitu, kita berdukacita kerana dalam masa yang sama, simptom wanita era jahiliyah masih jelas kelihatan di negara Malaysia tercinta. Golongan wanita masih dijadikan “barang perhiasan” di media-media, menjadi “alat” melariskan barang jualan, menjadi “alat hiburan” melampau dan sebagainya lagi.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat tidak bersungguhsungguh melindungi kaum wanita dari dieksploitasi seperti barang dagangan, maka yang menjadi mangsa kebanyakannya adalah wanita itu sendiri.

Ditambah pula sistem pendidikan negara yang menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan wanita. Sebagai contoh, sekolah dan kolej yang asalnya untuk pelajar perempuan sahaja dimasukkan pelajar lelaki dan sebaliknya. Wanita dicabul, dirogol dan melahirkan anak luar nikah yang jumlahnya begitu membimbangkan negara mutakhir ini. Bukan itu sahaja, budaya memperdagangkan wanita sebagai kosmetik barang jualan juga secara tidak langsung mengiklankan agar masyarakat mendekati zina.

Akibat perzinaan yang berleluasa, negara menghadapi musibah ramai generasi baru dibunuh serta dibuang meratarata tanpa belas kasihan dari ibu kandungnya sendiri. Dalam era semua tamadun terdahulu menindas kaum wanita, Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan oleh Allah untuk membawa Islam sebagai “rahmatan lil ‘alamin”.

Maksudnya sebagai tanda cinta Tuhan ke seluruh alam. “Rahmatan lil ‘alamin” juga boleh diinterpretasi sebagai kasih sayang dan belas kasihan Allah kepada setiap makhluknya. Justeru, Islam datang membebaskan manusia dari diperhambakan sesama manusia, mengangkat martabat kaum wanita setaraf dengan lelaki dan memelihara alam sekitar.

“Dan tidaklah Kami (Allah) mengutus engkau (Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta.” - (Al-Anbiya’: 107)

Sehubungan dengan itu, kita mahu membina imej wanita Malaysia sesuai dengan acuan Islam. Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna bukan sahaja menitik beratkan pembangunan intelek dan material, bahkan mengutamakan pembangunan spiritual dan moral yang mana kedua-duanya bersepadu menjadi modal untuk membina masyarakat penyayang.

Tiada ulasan: