Selasa, 14 Jun 2011

GAGASAN MENYELAMATKAN MASYARAKAT MALAYSIA

DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT INGIN MENGEMUKAKAN SATU GAGASAN ATAU VISI UNTUK MENYELAMATKAN MASYARAKAT MALAYSIA DARI KEMELUT KERUNTUHAN AKHLAK DAN INSTITUSI SOSIAL DALAM NEGARA YANG SEMAKIN TENAT SEBAGAI SATU PILIHAN UNTUK MUSLIMAT DAN WANITA MALAYSIA.

Allah berfirman dalam Surah Al-Zaariyaat ayat 56 yang bermaksud:

*Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.*

Sesungguhnya setiap manusia dilahirkan untuk menjadi mengabdikan diri kepada Allah swt. Apa pun kedudukan mereka di kalangan masyarakat, mereka tidak terlepas dari menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Ini termasuklah mereka yang diberi amanah kepimpinan. Justeru itu, realiti jawatan bukan perkara yang harus dibanggakan kerana di dalam Islam, mereka yang diberi amanah memimpin merupakan orang yang paling berat tanggungannya di hadapan Allah kelak.

Rasulullah s.a.w berkata,

*Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan tentang kepimpinannya. *

*Hadis Muttafaq ‘alaih*

Setiap individu mempunyai peranannya masing-masing. Setiap peranan dan amanah walaupun kecil tetap akan dihitung di mahkamah Allah kelak. Oleh itu, marilah sama-sama kita melunasi amanah ini dengan penuh keikhlasan dan itqan.

*Mengangkat martabat wanita *

Golongan wanita pada kurun-kurun terdahulu sering dipandang rendah dan dipergunakan untuk kepentingan kaum lelaki. Para ibubapa juga tidak gembira bila menerima anak perempuan. Mereka lebih gembira menerima anak lelaki. Pernah berlaku dalam sejarah Arab jahiliyah, anak perempuan ditanam hidup-hidup. Manakala perempuan yang muda belia dijadikan alat hiburan
untuk memuaskan nafsu kaum lelaki sahaja. Mereka juga tidak mempunyai hak memiliki harta, tidak dihormati, tidak diberi tanggungjawab memimpin keluarga bersama suami dan sebagainya lagi. Ringkasnya, kaum wanita dahulu dianggap warga kelas kedua; berdiri tidak sama tinggi dengan lelaki, duduk pula lebih rendah dari lelaki.

Kita akui dalam beberapa perkara, wanita Malaysia diberikan hak sama rata dengan lelaki seperti hak mendapatkan pendidikan sehingga peringkat tertinggi, pemilikan harta, berkerjaya dalam pelbagai bidang, bersukan, berpolitik dan sebagainya. Namun begitu, kita berdukacita kerana dalam masa yang sama, simptom wanita era jahiliyah masih jelas kelihatan di negara
Malaysia tercinta. Golongan wanita masih dijadikan ‘barang perhiasan’ di media-media, menjadi ‘alat’ melariskan barang jualan, menjadi ‘alat hiburan’ melampau dan sebagainya lagi.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat tidak bersungguh-sungguh melindungi kaum wanita dari dieksploitasi seperti barang dagangan, maka yang menjadi mangsa kebanyakannya adalah wanita itu sendiri.

Ditambah pula sistem pendidikan negara yang menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan wanita. Sebagai contoh; sekolah dan kolej yang asalnya untuk pelajar perempuan sahaja dimasukkan pelajar lelaki dan sebaliknya. Wanita dicabul, dirogol dan melahirkan anak luar nikah yang jumlahnya begitu membimbangkan negara mutakhir ini. Bukan itu sahaja, budaya memperdagangkan wanita sebagai kosmetik barang jualan juga secara tidak langsung mengiklankan agar masyarakat mendekati zina. Akibat perzinaan yang berleluasa, negara menghadapi musibah ramai generasi baru dibunuh serta dibuang merata-rata tanpa belas kasihan dari ibu kandungnya sendiri.

Dalam era semua tamaddun terdahulu menindas kaum wanita, Nabi Muhammad S.A.W diutus kan oleh Allah untuk membawa Islam sebagai ‘rahmatan lil ‘alamin’. Maksudnya sebagai tanda cinta Tuhan ke seluruh alam. “Rahmatan lil ‘alamin” juga boleh diinterpretasi sebagai kasih sayang dan belas kasihan Allah kepada setiap makhluknya. Justeru Islam datang membebaskan manusia dari diperhambakan sesama manusia, mengangkat martabat kaum wanita setaraf dengan lelaki dan memelihara alam sekitar.

*“Dan tidaklah Kami (Allah) mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam semesta.”*

*Al-Anbiya’ : 107*

Sehubungan dengan itu, kita mahu membina imej wanita Malaysia sesuai dengan acuan Islam. Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna bukan sahaja menitik beratkan pembangunan intelek dan material, bahkan mengutamakan pembangunan spiritual dan moral yang mana kedua-duanya bersepadu menjadi modal untuk membina masyarakat penyayang. Masyarakat yang stabil dari semua aspek inilah akan meneruskan kelangsungan sesebuah tamadun untuk jangka waktu yang lama.

Kita meyakini bahawa para wanita Malaysia akan bertambah anggun, bijak, bermaruah tinggi, berkeyakinan dan progresif dengan Islam sebagai cara hidup mereka. Ini kerana Islam memenuhi semua kehendak murni manusia dan syariatnya selaras dengan fitrah manusia lelaki dan wanita.

Islam itu sendiri datang dari Yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna, maka tiada
sebab kita menolak sistem hidup terbaik ciptaan Allah ini dalam setiap
tindakan kita.

Sejarah juga pernah membuktikan tamadun manusia yang paling gemilang dan cemerlang ialah tatkala kaum wanitanya diberi kedudukan istimewa berpandukan al-Quran dan Sunnah. Tamadun itu tidak lain dari tamadun Islam sendiri yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w di Madinah. Seterusnya ia berkembang sehingga zaman Khalifah Uthmaniyyah.

*Peranan Wanita*

“Ibu ibarat sekolah”

“Syurga itu dibawah telapak kaki ibu”

Begitulah antara gambaran-gambaran yang diberikan dalam menafsirkan peranan penting kaum wanita. Perumpamaan yang diberikan begitu dekat dengan jiwa dan naluri wanita sebagai ibu. Peranan sebagai isteri dan ibu merupakan tugas asasi kaum wanita dalam pembangunan negara. Dari seorang ibu yang ikhlas dan dedikasi mendidik anak-anaknya, maka lahirlah generasi pelapis pembangun dan pemimpin negara yang berkualiti. Manakala ibu-ibu yang cuai dalam mendidik anak-anaknya akan melahirkan rakyat dan pemimpin yang korup.


Peranan wanita sejak zaman awal Islam realitinya tidak terbatas kepada tugasan sebagai isteri dan ibu sahaja, bahkan isteri Rasulullah s.a.w sendiri merupakan tokoh korporat yang begitu berjaya di zamannya. Khadijah binti Khuwailid menjalankan perniagaan import dan eksport yang mana Rasulullah sendiri pernah ditugaskan mewakili Khadijah membawa barang dagangan ke Syam.

Isteri Rasulullah bernama Aisyah r.a pula terkenal dengan daya intelek yang tinggi. Aisyah seorang yang bijak pernah memberi kuliah kepada sahabat-sahabat suaminya sendiri.

Anakanda kesayangan Nabi Muhammad s.a.w, Fatimah r.a pernah mengiringi ayahandanya ke medan perang bertugas merawat tentera yang cedera.

Ummu Salamah pula pernah menyuarakan pandangannya kepada Rasulullah s.a.w dalam urusan pentadbiran.

Beberapa contoh di atas menunjukkan bahawa wanita dibenarkan bergiat dalam urusan masyarakat awam sejak di zaman Rasulullah s.a.w lagi. Mereka tidak dikurung di dalam rumah-rumah suaminya sahaja sebagaimana anggapan para orientalis barat. Namun perbezaan paling penting antara wanita muslimah dan wanita barat ialah mereka berjaya memberi sumbangan langsung atau tidak langsung dalam pembangunan negara, dalam masa yang sama maruah mereka terpelihara dengan konsep hijab. Konsep hijab menjadi pemugar kepada kaum
wanita dari dieksploitasikan sebagai bahan tarikan seks atau bahan pelaris barang jualan.

Wanita juga dipandang dengan standard yang sama dipakai terhadap kaum lelaki. Jika kaum lelaki dinilai berdasarkan merit keilmuan dan kepakarannya dalam sesuatu bidang tanpa sedikit pun melihat kepada kecantikan jasmani, maka wanita Islam yang mengenakan hijab juga dinilai
dengan piawaian yang sama. Dari sinilah, wanita Islam diletakkan sama taraf dengan lelaki. Berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Berbeza dengan ramai wanita yang dijadikan model-model, mereka yang memiliki kecantikan lahiriah sahaja yang layak dieksploitasikan meskipun mereka mungkin tidak bijak dalam banyak perkara. Di sini, para peniaga sebenarnya telah merendah-rendahkan martabat wanita tersebut.

Sifat syariat Islam itu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan sosial masyarakat moden. Sehubungan dengan itu, menjadi harapan kita kepada para muslimah sama ada bergelar isteri, ibu, pekerja, pemimpin masyarakat dan lain-lain agar memantapkan syakhsiah dengan informasi berguna, meningkatkan kemahiran diri dalam bidang yang diminati, menguasai ilmu IT serta berakhlak mulia. Rukun Islam yang lima hendaklah menjadi amalan berterusan, mematuhi peraturan hijab demi kerukunan masyarakat dan memelihara maruah diri sebaik mungkin.

Kita percaya, bahawa secara dasarnya semua agama mengajar penganutnya berbuat baik dan menjauhi perkara yang menyakiti orang lain. Tiada agama yang membenarkan perzinaan, pelacuran serta menghamilkan anak luar nikah. Oleh itu diharapkan semua wanita yang tidak beragama Islam mengamalkan ajaran agama masing-masing agar mereka tidak mudah terpedaya dengan arus yang merosakkan ramai manusia hari ini.

Tiada ulasan: