Rabu, 22 Jun 2011

Bersih 2.0: Hasrat 80 NGO sangat murni

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh inisiatif lebih 80 buah NGO’s yang telah bergabung di dalam BERSIH 2.0 untuk menganjurkan satu program penting dalam sejarah tuntutan demokrasi negara ini yang juga dipanggil sebagai Walk For Democracy atau ”Berjalan Untuk Demokrasi” pada 9 Julai 2011 akan datang.

DMPP turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh Jawatankuasa Bersih 2.0 atas kejayaan Majlis Pelancaran Bersih 2.0 yang diadakan malam tadi bersamaan Ahad, 19 Jun 2011.
DMPP percaya hasrat dan tujuan mereka ini adalah sangat murni, sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada seluruh warga dan tentulah juga merupakan manifestasi kehendak seluruh rakyat yang mahu melihat satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang Bersih, Adil dan Kredibil (boleh dipercayai). Apatah lagi jika kita melihat NGO-NGO yang terbabit di dalam BERSIH 2.0 ini merupakan NGO-NGO yang aktif dalam hal-hal berkaitan hak asasi manusia, pemberdayaan wanita dan rakyat, pembela terhadap masyarakat tertindas hatta dipimpin pula oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) iaitu Datuk Ambiga Sreenavasan yang tentulah tahu dan faham ruang lingkup yang menjadi hak rakyat hatta batasan serta sempadan-sempadan yang ada, selari dengan undang-undang serta peraturan dalam negara.

Hakikatnya, selepas tempoh 12 kali Pilihan Raya Umum negara dan yang terbaru ialah Pilihan Raya Negeri Sarawak serta 16 kali Pilihan Raya Kecil membabitkan hampir kesemua negeri dalam Malaysia kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan; jelas terbukti bahawa terdapat pelbagai kelemahan ketara di dalam sistem dan perjalanan Pilihan Raya dalam negara ini. Kelemahan-kelemahan ini dapat kita lihat dan fahami melalui 8 Tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0.

Seandainya kelemahan tadi berterusan dan tiada usaha bersunguh untuk memperbaikinya daripada semua pihak khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri, maka negara akan terdedah dengan satu situasi di mana keputusan-keputusan pilihan raya itu tidak atau kurang kredibil yang seterusnya akan mewujudkan ketidakpuasan hati dan hilang kepercayaan para warga terhadap sistem dan perjalanan pilihan raya itu sendiri. Fenomena ini nantinya boleh mengakibat satu ledakan cemas dan kebangkitan rakyat. Dan andai ianya tidak terpimpin secara bertanggungjawab maka ia akan memberi implikasi buruk kepada kita semua.

Justeru, DMPP percaya bahawa tindakan Jawatankuasa BERSIH 2.0 ini dilihat bertujuan mengimbangi kemarahan serta kebangkitan rakyat dan melorongkan ”kemarahan dan ketidakpuasan hati ini” kepada satu tindakan yang lebih terarah, bertanggungjawab, terpimpin hatta mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan khususnya yang terkandung dalam Perkara 10 berkaitan Kebebasan Bercakap, Berhimpun Dan Menubuhkan Persatuan: secara aman dan tanpa senjata.

Oleh yang demikian, DMPP menyeru pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya agar mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dan mesra rakyat. Tindakan berterusan mengeluarkan ”ancaman tangkap” kepada rakyat adalah suatu yang sangat tidak wajar, tidak menghormati rakyat, membelakangi semangat keluhuran Perlembagaan dan mencabuli serta menyalahgunakan undang-undang itu sendiri. ”Ancaman Tangkap” itu berbaur satu ugutan keras dan ia tidak manis untuk menjadi satu budaya kerja pasukan polis terhadap rakyat. Kalau sikap dan budaya ini berterusan, jangan salahkan rakyat jika polis menjadi satu Institusi Awam yang tidak akan lagi dihormati hatta dipandang rendah.

Sudah sampai masanya PDRM berhenti daripada menjadi ”Budak Suruhan Pihak Atasan”. Sudah sampai masanya PDRM mengambil pendekatan ”memahami dan menyantuni” kehendak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

DMPP menyedari betapa BERSIH 2.0 sendiri telah menegaskan bahawa mereka dalam hasrat membimbing rakyat mempraktiskan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan. BERSIH 2.0 juga bersedia dan sanggup bekerjasama di pihak Polis bagi memastikan program pada 9 Julai nanti akan berlangsung dalam keadaan yang aman, tertib dan terkawal. Justeru, DMPP mendesak Ketua Polis Negara agar segera membuka ruang perbincangan di antara kedua belah pihak demi kepentingan negara.

DMPP juga sangat memandang serius akan kenyataan berbau ”ancaman dan ugutan” yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali bersama Perkasa yang menegaskan ”mereka akan menganjurkan protes bagi menghalang rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan”.

DMPP menyifatkan kenyataan ini adalah sangat bahaya dan mengancam keselamatan awam khususnya pada hari tersebut. Apatah lagi Ibrahim Ali secara emosional melulu menegaskan bahawa “apa sahaja boleh berlaku pada 9 Julai itu nanti”. DMPP menyifatkan kenyataan ini sangat biadap, tidak ada kelas dan bersifat kebudak-budakan. Ia juga sangat bersifat anti establishment. Amat malang ianya dituturkan oleh seorang Ahli Parlimen tidak berparti (yakni Bebas) atau dalam konteks Malaysia kita fahami mereka ini sebagai Ahli Parlimen “Lompat” (Katak)!

Lebih malang bilamana kenyataan “ancaman dan ugutan” seperti ini tidak pula diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa dan hanya menampakkan PDRM bertindak tidak professional serta double standard.

DMPP tidak berhasrat untuk menghalang sesiapapun untuk turut Turun pada 9 Julai nanti, atau berhimpun bila-bila masa dan di mana sahaja; tetapi yang penting perhimpunan itu mestilah diadakan secara aman, tanpa senjata, dengan objektif yang jelas dan bukan berniat untuk menimbulkan sebarang kekecohan atau sebarang tindakan vandalism atau anti sosial.

DMPP sangat berdukacita terhadap segala kenyataan tidak bertanggungjawab yang dilontarkan oleh beberapa Menteri terhadap BERSIH 2.0. Ini termasuklah tuduhan Rais Yatim yang mengaitkan ”Serangan Siber” ke atas beberapa laman web kerajaan baru-baru ini sebagai berkait dengan BERSIH 2.0. Manakala Muhyidin Yassin membuat tuduhan bahawa Walk For Democracy itu adalah bertujuan untuk menumbangkan BN. DMPP melihat kenyataan-kenyataan itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan hanya menampakkan bahawa UMNO BN sekarang berada pada tahap ”ketakutan yang melampau” sehingga ”bayangan sendiri difikirkan hantu!”.

DMPP mengajak seluruh rakyat dan semua pihak memahami bahawa apa yang akan berlaku pada 9 Julai 2011 itu nanti ialah satu program bersifat merakyat ; Walk For Democracy . Dan ianya secara khusus berkaitan dengan 8 Tuntutan BERSIH 2.0 untuk kita semua upaya menikmati satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang bersih dan adil. Ianya bukan berkaitan persoalan politik kepartian yang sempit. Ianya bukan berkaitan persoalan individu orang tertentu. Ianya konsistant berkaitan Tuntutan Rakyat untuk SPR dan pihak berwajib bertindak segera Mereformasi Sistem Dan Perjalanan Pilihan Raya yang ada dalam negara ini agar lebih seimbang kepada semua pihak yang mengambil bahagian.

Akhirnya, DMPP menyeru seluruh rakyat jelata khususnya para wanita yang mahukan 8 Tuntutan BERSIH ini didengar dan tercapai agar hadir beramai-ramai dan bersama-sama kita BERJALAN UNTUK DEMOKRASI secara aman dan tertib. DMPP juga sedang dalam proses menggerakkan seluruh kekuatan organisasi dan jentera Dewan Muslimat PAS di seluruh negara untuk bersama menggerakkan rakyat HADHIR PADA TEMUJANJI KITA, 9 JULAI DI KUALA LUMPUR. DMPP yakin dan percaya, insyaAllah Kita akan lalui dan hadapi 9 Julai ini dengan penuh kewarasan, kejelasan tujuan dan penuh bertanggungjawab. Sungguhlah benar jihad yang paling besar adalah berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim.

Kembalikan Kuasa Rakyat! Bersihkan Pilihan Raya! Allahu Akbar!

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Pusat
20 Jun 2011, Kuala Lumpur

Tiada ulasan: